Prihal pertolongan manusia

Aku cukup senang bila melihat sahabat-sahabat dari universiti lain datang ke Ump sebagai tempat persinggahan (gaya zaman Tanah Melayu masa zaman kesultanan Melayu Melaka hehe) sebelum mereka bertolak menuju ke lokasi banjir. Mereka bertindak sebagai sukarelawan sangat lembut hatinya, ramah dan murah dengan senyuman.

Aku amat menyenangi kehadiran mereka, dari jauh datang untuk menghulurkan bantuan, walaupun kocek tak berduit, mereka datang untuk menyumbang kudrat empat kerat. Dengan kesedaran mereka ada, aku juga tersentak sendiri, bangun dari sikap pentingkan diri. Lalu aku menyahut seruan Tuhan untuk bersama sahabat-sahabat menyertai misi kemanusiaan ke Kelantan.

Musibah itu pengajaran buat aku.

Suatu ketika dulu rumah aku juga pernah dilanda banjir. Kalau tak silap aku darjah tiga. Ibu dan ayah aku yang berniaga habis hilang barang dagangan mereka. Teringat pula saat itu aku dan abang mencedok air yang bertakung di dalam rumah. Dari situ hubungan kami dua beradik menjadi sangat akrab. Satu hikmah yang aku belajar dalam usia aku 9 tahun.

Sepanjang di Kelantan, aku belajar erti satu kesyukuran. Bila mana manusia amat mudah untuk menyatakan syukur setiap kali di beri nikmat oleh RabbNya, namun bukanlah semudah itu untuk bersyukur apabila menerima ujian apatah lagi yang disebut-sebut sebagai musibah. Jujur. Aku juga mungkin tak mampu tersenyum seperti mereka. Alangkah Allah tahu daya dan kemampuan manusia, lalu dicampakkan ujian kepada mereka. Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak. 

Maka benarlah "..Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..." [Al-Baqarah: 286] 

Aku belajar tentang kebergantungan pada Allah itu adalah yang paling utama, bukan pada manusia. Manusia datang dan pergi, adakalanya pergi tak kembali. Apakah wajar kita bergantung harap pada manusia sedangkan hati manusia juga milik Allah, dan Allah jualah yang menggerakkan hati-hati ini. 

Setiap pertolongan itu datang dari Allah, dan manusia hanyalah perantara.. =)

Senyum sabar, syukur..

Ujian Allah lemparkan untuk menguji keimanan hambaNYa

dan maka benarlah juga "..Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka masih belum diuji (dengan sesuatu cubaan)?.." [Al-Ankabuut:02]